Jumaat, 23 Mac 2012

Jamuan di A & W

Bertempat di Restoren A&W Seremban, seramai 5 orang pelajar yang telah membantu semasa slot ceramah Penjagaan Kesihatan dan Kecantikan sempena Perkhemahan Pandu Daerah Seremban telah dijamu dengan sedikit jamuan ringan yang merupakan menu pilihan mereka sendiri. Sebagai menghargai sumbangan mereka membantu guru sepanjang sesi ceramah berlangsung, kelima-lima orang pelajar ini hadir dengan begitu ceria tambahan pula kehadiran mereka adalah dijemput oleh guru mereka sendiri dari rumah ke rumah.

Selama hampir 1 jam berehat sambil menikmati hidangan, peluang ini juga diambil oleh guru MPV untuk berkongsi masalah pembelajaran serta memberikan suntikan semangat kepada pelajar ini untuk terus fokus kepada pelajaran seterusnya mencapai keputusan yang cemerlang. Ternyata setiap pelajar ini mempunyai hasrat ingin berjaya, namun masing-masing sangat memerlukan sokongan yang terus menerus dari guru-guru dan ibu bapa. Selesai jamuan, kami menghabiskan masa berjalan dan bershopping di Seremban Parade. Kesemua pelajar ini telah selamat dihantar pulang ke rumah sebelum jam 7.30 malam.











Rabu, 21 Mac 2012

Tahniah dan Syabas.. SPM 2011

Tarikh 21 Mac 2012 sekali lagi mencatat detik bersejarah tatkala keputusan Peperiksaan SPM 2011 diumumkan. Bertempat di Ruang Legar SMKTTJ, keputusan Peperiksaan SPM 2011 diumumkan oleh tuan pengetua sendiri di hadapan ratusan bekas pelajar dan ibu bapa yang hadir untuk menerima keputusan. Ternyata keputusan yang diumumkan telah mencatat peningkatan dalam GPMP dan bilangan pelajar yang mencapai 5A ke atas.

Bagi mata pelajaran MPV Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut, kejayaan pelajar lulus adalah dikekalkan 100%. Namun begitu, sedikit penurunan GPMP berlaku iaitu 1.94 berbanding tahun sebelumnya Biaiutu 1.78. 12 orang telah berjaya memperolehi gred A ( 6 A dan 6 A- ) manakala 4 orang lagi mencapai gred B ( 3 B+ dan 1 B ). Peratus yang mencapai gred A adalah meningkat iaitu sebanyak 75% berbanding tahun sebelumnya. 

Tahniah dan syabas kepada semua bekas pelajar. Hasil dari usaha gigih dan pengorbanan anda kini telahpun dituai. Semoga bekas-bekas pelajar ini akan dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Buat calon SPM 2012, jadikan kejayaan kakak-kakak ini sebagai pendorong untuk mencipta kejutan dan kecemerlangan yang lebih hebat. Sama-sama kita berusaha bagi memastikan pencapaian mata pelajaran MPV PMDR ini lebih cemerlang 

















Sabtu, 10 Mac 2012

Ceramah Penjagaan Kesihatan dan Kecantikan - Perkhemahan Pandu Puteri Daerah Seremban

SABTU 10 Mac 2012 - Panitia MPV telah menerima satu jemputan daripada Persatuan Pandu Puteri Daerah Seremban bagi mengadakan ceramah Penjagaan Kesihatan dan Kecantikan Remaja bersempena dengan Perkhemahan Pandu Puteri Daerah Seremban yang dijalankan di SMK Taman Tuanku Jaafar. Slot selama 2 jam tersebut telah dikendalikan oleh Guru Mata Pelajaran MPV sendiri iaitu Puan Yusrina Hanim bt Mohd Yunus dengan dibantu oleh 5 orang pelajar Tingkatan 5 UMS ( MPV ) iaitu Anis Izzati, Siti Suryani, Siti Zulaikha, Nor Atikah Ain dan Shoba.

Antara pengisian dalam sesi ceramah ini adalah cara-cara untuk menjaga kesihatan diri dan kulit muka serta langkah-langkah menjaga kebersihan dan cara untuk membersihkan kulit muka dengan betul. seramai hampir 100 orang ahli Pandu Puteri yang hadir kelihatan begitu berminat dan teruja dengan ceramah yang diberi serta terlibat secara aktif sepanjang sesi ceramah berlangsung. Selain sesi ceramah, Puan Yusrina Hanim juga turut memberikan beberapa hadiah kepada para peserta yang berjaya men jawab soalan kuiz dengan tepat. Dipenghujung slot pula, demonstrasi membersihkan muka dijalankan bertujuan menunjukcara kaedan membersihkan muka dengan betul. Para peserta termasuk Pemimpin-pemimpian Pandu Puteri turut tidak melepaskan peluang mencuba kaedah membersihkan muka.

Dikesempatan ini, Panitia MPV SMKTTJ ingin merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pandu Puteri Daerah Seremban kerana memberi peluang kepada kami untuk berkongsi ilmu pengetahuan, disamping memberi latihan dan keyakinan kepada para pelajar MPV sendiri untuk melibatkan diri memberi sumbangan kepada komuniti luar. Nyata, diakhir ceramah, para pelajar yang terlibat sebagai fasilitator ini mendapat pujian daripada semua guru pemimpin Pandu Puteri yang hadir kerana mereka telah mempamerkan sikap positif, berani serta yakin sepanjang membuat demonstrasi kepada audien yang hadir. Syabas dan semoga peluang seperti ini akan sentiasa diberikan kepada kami agar dapat melatih para pelajar lebih yakin dan mahir dalam bidang kosmetologi ini.



Slot ceramah yang disampaikan oleh Puan Yusrina Hanim kepada hampir 100 orang ahli Pandu Puteri Daerah Seremban.







Puan Yusrina Hanim menunjukkan demonstrasi membersihkan muka pelanggan



Para pelajar Tingkatan 5 MPV begitu yakin menunjukkan kaedah mencuci muka sampai memberi khidmat nasihat kepada peserta yang hadir.