Isnin, 22 Oktober 2012

Lawatan BTPN Terengganu ke SMKTTJ - Menjenguk aktiviti di Bilik MPV

Sempena Lawatan Penanda Aras dari BTP Negeri Terengganu, sekali lagi Bilik MPV menjadi lokasi lawatan bagi melengkapkan atucara program lawatan pegawai-pegawai dari negeri pantai timur ini. Objektif utama lawatan ini ke SMKTTJ adalah untuk mempelajari pembudayaan ICT serta pembestarian pendidikan yang telah dilaksanakan di SMKTTJ.

Rombongan seramai 39 orang ini membariskan para pengetua dan guru besar dari sekolah menengah dan sekolah rendah di Negeri Terengganu, pegawai-pegawai dari PPD serta pegawai PKG. Dibahagikan kepada 3 kumpulan kecil, kehadiran pegawai ini ke Bilik MPV bermula dari jam 12 tengahari dan tamat sekitar jam 12.45 tengahari. Pelajar-pelajar MPV Tingkatan 4 dan 5 telah membuat persediaan untuk melakukan demonstrasi rawatan seperti solekan, rawatan muka, rawatan rambut, penggayaan rambut dan guntingan rambut.

Ketua Bidang Teknik & Vokasional, Puan Fadhilah Hashim juga turut berada bersama di Bilik MPV bagi membantu memberikan penerangan kepada para pelawat. Para pelajar juga kelihatan lebih yakin untuk memberi penerangan dan menjawab persoalan yang diajukan. 

Buat Pegawai-Pegawai BTPN Terengganu, jutaan terima kasih kami ucapkan. Panjang umur, kita jumpa lagi...












Khamis, 18 Oktober 2012

Hari Graduasi SMKTTJ 2012 - INTI International University, Nilai

Tahniah dan Syabas !! Buat barisan Jawatankuasa Hari Graduasi SMKTTJ 2012 telah berjaya merealisasikan satu majlis graduasi bertaraf Universiti. Walaupun ini adalah kali pertama majlis seperti ini dibuat, namun kerjasama dari guru-guru dan para pelajar yang terlibat menyumbang kepada kelancaran majlis ini.

Bertempat di Dewan Konvokesyen INTI International University, Nilai majlis ini telah dirasmi dan disempurnakan oleh YB Tn Hj Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau dan dihadiri oleh jemputan-jemputan lain dari JPNS, PPD Seremban, YDP PIBG, wakil dari pelbagai syarikat swasta yang telah berkolaborasi bersama SMKTTJ, para ibu bapa serta hampir 230 orang pelajar Tingkatan 5 yang akan menaiki pentas.

Semoga majlis ini akan menjadi ingatan buat mereka yang bakal menduduki SPM dan akan meninggalkan sekolah tidak lama lagi. Kenangan di zaman persekolahan adalah kenangan paling manis dan pastinya mereka akan merindui saat-saat bergelar pelajar. 

Dan nun dibelakang tabir.. pelajar-pelajar MPV yang sedang berdebar menanti saat naik ke atas pentas, rupa-rupanya sedang membantu menyolek muka pelajar-pelajar yang akan bertugas membawa bunga pahar semasa majlis berlangsung nanti. Tahniah dan syabas, kerana mereka mengambil peluang ini untuk membantu rakan-rakan yang lain serta menawarkan khidmat di saat-saat kemahiran dan sentuhan mereka diperlukan.

Buat semua pelajar Tingkatan 5.. Selamat Menduduki Peperiksaan SPM.. Semoga berjaya dengan cemerlang !!






































Jumaat, 5 Oktober 2012

Hari Anugerah Kualiti & Kecemerlangan SMKTTJ 2012

Syukur Alhamdulillah...

Syabas buat Panitia MPV dan Terima Kasih kepada barisan juri penilai... atas pemilihan Panitia MPV sebagai penerima anugerah bersempena Hari Anugerah Kualiti dan Kecemerlangan SMKTTJ buat kali yang ke-2. Untuk tahun 2012 ini, Panitia MPV telah dipilih sebagai penerima Anugerah Cemerlang Bilik-Bilik Khas dan Anugerah Pengekalan 100% ( 3 Tahun Berturut-Turut ). Majlis penyampaian anugerah dan hadiah telah disempurnakan oleh YB Dato' Devamany a/l S.Krishnasamy,  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Semoga dengan penghargaan ini, Panitia MPV akan terus mencipta kejayaan, cemerlang dalam akademik serta berusaha membawa nama SMKTTJ sehingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Buat semua pelajar MPV, teruskan berusaha.. kita harus pastikan Panitia MPV akan terus unggul sebagai antara Panitia yang hebat di Negeri Sembilan !!