Khamis, 28 Jun 2012

Perjumpaan 3 Penjuru 2012

Perjumpaan 3 Penjuru bersama ibu bapa dan penjaga pelajar SMKTTJ telah berlangsung pada 28 Jun 2012. Majlis perjumpaan ini adalah satu peluang dan kesempatan untuk bertemu dan bersemuka dengan ibu bapa dan penjaga kepada pelajar bagi memberikan maklumat berkaitan pencapaian pelajar dalam pembelajaran di sekolah.

Bagi seramai 16 orang pelajar MPV tahun ini, hanya seramai 3 pasangan ibu bapa sahaja yang dapat hadir. Jumlahnya agak mengecewakan, namun perkara inilah yang sering berlaku setiap kali perjumpaan seperti ini diadakan. Peluang ini diambil untuk memaklumkan kepada para ibu bapa berkaitan prestasi anak-anak dalam akademik, serta sahsiah mereka sepanjang berada di sekolah. Selain itu juga, peluang ini digunakan untuk guru dan ibu bapa saling berkongsi idea, serta mencari jalan penyelesaian untuk membantu pelajar-pelajar ini agar dapat memberikan komitmen, fokus serta rajin hadir ke sekolah. Syukur Alhamdulillah, ke semua ibu bapa pelajar MPV yang hadir telah memberikan maklumbalas yang baik, positif serta berjanji untuk memantau anak-anak mereka dari segi pembelajaran di luar sekolah. Semoga kerjasama seperti ini akan dapat membantu para pelajar ini untuk terus cemerlang dan mencipta kejayaan untuk diri, keluarga dan sekolah.






Rabu, 13 Jun 2012

Kursus Pembinaan Item Panitia MPV Daerah Seremban

Bertempat di Bengkel MPV SMK Seri Pagi, Seremban, telah berlangsung kursus Pembinaan Item bagi guru-guru MPV dari seluruh daerah Seremban. Kursus ini merupakan kursus yang pertama bagi tahun 2012 di mana SMK Seri Pagi menjadi Pengerusi Bersama dengan SMK Panchor bagi menjayakan kursus ini.

Objektif kursus ini adalah untuk menghasilkan set soalan peperiksaan yang seragam mengikut opsyen MPV yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah menengah harian di daerah Seremban. Selain itu, peluang guru-guru MPV bersama-sama seperti ini banyak membantu untuk menghasil dan melahirkan pelbagai idea dalam bentuk soalan peperiksaan. Selain itu, kursus seperti ini juga membuka peluang kepada guru untuk bertukar pandangan dan pengetahuan mengenai format terkini dalam sistem pembinaan item dan pemarkahan peperiksaan.

Kursus bermula pada jam 8.00 pagi dan turut dihadiri oleh Tuan Pengetua SMK Seri Pagi iaitu Tuan Haji Mohd Razib bin Jamaludin. Beliau memberikan kata-kata aluan seterusnya merasmikan kursus tersebut. Hasil dari kursus tersebut, sebanyak 2 set soalan berjaya dihasilkan oleh setiap opsyen. Kursus berakhir pada jam 4.30 petang.