Ahad, 8 Julai 2012

Karnival Gegar Ria SMKTTJ 2012

Bermula pada jam 8.00 pagi pada   tarikh  7 Julai 2012 ( Sabtu ) Panitia MPV  sudah memulakan perkhidmatan  salun kepada orang ramai sempena Karnival Gegar Ria SMKTTJ 2012.  Dengan tawaran harga yang menarik, salun MPV dikunjungi ramai pelanggan yang tidak putus-putus dari pagi sehingga jam 4.30 petang.  Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah syampu rambut, rawatan rambut dan muka, guntingan rambut, penggayaan rambut dan sauna. Harga yang dikenakan adalah bermula dari RM 4.00 sehingga RM 25.00.

Selama 2 hari memberikan perkhidmatan, dianggarkan sejumlah RM 335.00 berjaya dikumpulkan untuk disumbangkan ke Tabung PIBG SMKTTJ. Selain itu, Panitia MPV juga mengambil bahagian dalam pameran serta demonstrasi menggayakan rambut dan solekan muka kepada orang ramai. Penyertaan seperti ini telah banyak membantu para pelajar MPV untuk meningkatkan keyakinan memberikan perkhidmatan kepada orang ramai serta membantu mereka lebih mahir menguasai bidang yang mereka ceburi.

Pada hari kedua pula, jam 2.30 petang – 4.00 petang pertandingan solekan STAGE telah dijalankan. Bayaran Penyertaan telah dikenakan berjumlah  RM 10 untuk penyertaan luar dan RM 5 untuk penyertaan pelajar SMKTTJ. Jumlah penyertaan adalah 8 kumpulan ( 1 kumpulan diwakili oleh 2 orang ) di mana 4 kumpulan dari SMK Taman Tuanku Jaafar, 2 kumpulan dari Dual Trining Institute dan 2 kumpulan dari SMK Tunku Ampuan Najihah

Pertandingan ini telah mendapat tajaan hadiah yang telah disumbangkan oleh individu dan syarikat iaitu untuk Johan dan Naib Johan ditaja Mui Yong Trading Sdn Bhd, tempat Ke-3, Ke-4 dan Ke-5  oleh Puan Zaidah ( Avon Cosmetics ) dan tempat Ke – 6, Ke – 7 dan Ke – 8 disumbangkan oleh Clara International Beauty. Pengadil bagi pertandingan  ini adalah Cik Sio Lee Yun  dan   Cik Law Cha Ngoh  dari Clara International Beauty.

Syarat Pertandingan            :    
1.  Penyertaan adalah TERBUKA kepada orang ramai
2.  Bahan, peralatan dan aksesori solekan disediakan sendiri oleh peserta
3.  Setiap kumpulan terdiri dari seorang jurusolek dan seorang pelanggan sahaja
4.  Tema solekan adalah ‘STAGE’ ( Alam Fantasi )
5.  Peserta dibenarkan membuat dandanan rambut, tetapi markah hanya dikira berdasarkan hasil 
     solekan yang kreatif dan menarik sahaja
6.  Tempoh masa pertandingan adalah 45 minit sahaja
7.  Bayaran penyertaan dikenakan sebanyak RM 10 untuk setiap penyertaan
8.  Borang penyertaan yang lengkap diisi hendaklah diserahkan pada urusetia pertandingan sebelum jam 
     2.00 petang, 7 Julai 2012 berserta bayaran penyertaan.
9.  Markah dikira berdasarkan kriteria kreativiti, kekemasan, menepati tema dan aksesori yang digunakan
10. Keputusan hakim adalah MUKTAMAD


Keputusan Pertandingan    :        
    Johan                     :               Nurul Hazirah bt Ibrahim ( DTI )
    Naib Johan             :               Nur Atikah Ain bt Nor Azam ( SMKTTJ )
    Ke – 3                    :               Ain Adiba bt Ayub ( DTI )
    Ke – 4                    :               Nur Aishah bt Zainal ( SMKTTJ )
    Ke – 5                    :               Devaki a/p Muniandy ( STAN )
    Ke – 6                    :               Nur Amylikha Adha bt Khalid ( SMKTTJ )
    Ke – 7                    :               Siti Zulaikha bt Anuwar ( SMKTTJ )
    Ke – 8                    :               Saraniya a/p Arulkumar ( STAN )

Pertandingan ini telah berjaya dijalankan seperti yang diharapkan.  Walaubagaimanapun, penyertaan dikalangan pelajar SMKTTJ adalah kurang memberangsangkan, tambahan para pelajar MPV sendiri terlibat untuk menguruskan perkhidmatan salun kecantikan yang berlangsung pada waktu yang sama.  Namun yang demikian, penyertaan dari sekolah dan institusi jemputan telah memeriahkan pertandingan ini. Sumbangan hadiah daripada pelbagai pihak turut membantu menjadikan pertandingan ini lebih menarik dimana para peserta bekerja keras untuk menghasilkan solekan yang menarik.

Beberapa perkara yang perlu diberikan penambahbaikan iaitu lokasi pertandingan yang agak tersorok dan terlindung dari pandangan pengunjung menyebabkan ramai pengunjung tidak dapat melihat perjalanan pertandingan dan urusetia terpaksa meninta bantuan pengumuman melalui pembesar suara. Selain itu, tertindihan program juga berlaku di mana para pelajar MPV terlibat untuk menjaga pameran MPV dan menguruskan salun kecantikan menyebabkan jumlah penyertaan adalah terhad.

Diharapkan, semoga pertandingan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pelbagai tema solekan bagi memastikan para pelajar diberi keyakinan dan peluang untuk mempamerkan bakat mereka pada umum.




































Khamis, 28 Jun 2012

Perjumpaan 3 Penjuru 2012

Perjumpaan 3 Penjuru bersama ibu bapa dan penjaga pelajar SMKTTJ telah berlangsung pada 28 Jun 2012. Majlis perjumpaan ini adalah satu peluang dan kesempatan untuk bertemu dan bersemuka dengan ibu bapa dan penjaga kepada pelajar bagi memberikan maklumat berkaitan pencapaian pelajar dalam pembelajaran di sekolah.

Bagi seramai 16 orang pelajar MPV tahun ini, hanya seramai 3 pasangan ibu bapa sahaja yang dapat hadir. Jumlahnya agak mengecewakan, namun perkara inilah yang sering berlaku setiap kali perjumpaan seperti ini diadakan. Peluang ini diambil untuk memaklumkan kepada para ibu bapa berkaitan prestasi anak-anak dalam akademik, serta sahsiah mereka sepanjang berada di sekolah. Selain itu juga, peluang ini digunakan untuk guru dan ibu bapa saling berkongsi idea, serta mencari jalan penyelesaian untuk membantu pelajar-pelajar ini agar dapat memberikan komitmen, fokus serta rajin hadir ke sekolah. Syukur Alhamdulillah, ke semua ibu bapa pelajar MPV yang hadir telah memberikan maklumbalas yang baik, positif serta berjanji untuk memantau anak-anak mereka dari segi pembelajaran di luar sekolah. Semoga kerjasama seperti ini akan dapat membantu para pelajar ini untuk terus cemerlang dan mencipta kejayaan untuk diri, keluarga dan sekolah.






Rabu, 13 Jun 2012

Kursus Pembinaan Item Panitia MPV Daerah Seremban

Bertempat di Bengkel MPV SMK Seri Pagi, Seremban, telah berlangsung kursus Pembinaan Item bagi guru-guru MPV dari seluruh daerah Seremban. Kursus ini merupakan kursus yang pertama bagi tahun 2012 di mana SMK Seri Pagi menjadi Pengerusi Bersama dengan SMK Panchor bagi menjayakan kursus ini.

Objektif kursus ini adalah untuk menghasilkan set soalan peperiksaan yang seragam mengikut opsyen MPV yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah menengah harian di daerah Seremban. Selain itu, peluang guru-guru MPV bersama-sama seperti ini banyak membantu untuk menghasil dan melahirkan pelbagai idea dalam bentuk soalan peperiksaan. Selain itu, kursus seperti ini juga membuka peluang kepada guru untuk bertukar pandangan dan pengetahuan mengenai format terkini dalam sistem pembinaan item dan pemarkahan peperiksaan.

Kursus bermula pada jam 8.00 pagi dan turut dihadiri oleh Tuan Pengetua SMK Seri Pagi iaitu Tuan Haji Mohd Razib bin Jamaludin. Beliau memberikan kata-kata aluan seterusnya merasmikan kursus tersebut. Hasil dari kursus tersebut, sebanyak 2 set soalan berjaya dihasilkan oleh setiap opsyen. Kursus berakhir pada jam 4.30 petang.







Khamis, 10 Mei 2012

Bengkel Teknik Menjawab SPM Mata Pelajaran MPV PMDR bagi Pelajar MPV SMKTTJ

Bengkel Teknik Menjawab SPM bagi mata pelajaran MPV Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut bagi 16 orang pelajar MPV SMKTTJ telah berjaya disempurnakan pada 10 Mei 2012 bertempat di Dewan Seri Budiman. Bengekel selama 2 jam itu telah dikendalikan oleh Ketua Panitia MPV iaitu Pn Yusrina Hanim dan dihadiri oleh pelajar Tingkatan 5 UMS.

Bengkel yang sepatutnya dijadualkan pada 25 Mei 2012 telah ditukar tarikh lebih awal memandangkan terdapat kekosongan jadual. Namun ini dilihat sebagai satu peluang yang begitu baik untuk mendedahkan calon SPM ini dengan teknik menjawab soalan dengan baik serta membantu persediaan mereka menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun yang sedang berlangsung.

Kehadiran pelajar adalah seramai 14 orang dari 16 orang keseluruhan calon. Sepanjang 2 jam bengkel berlangsung, respon dan penglibatan pelajar adalah sangat baik. Latihan ditumpukan tentang kaedah untuk menjawap setiap soalan dengan terperinci. Diharapkan semua pelajar ini akan dapat menguasai kemahiran ini dan mempraktikkan dalam setiap kali ujian atau peperiksaan yang akan mereka hadapi. 









Jumaat, 4 Mei 2012

Teknik Menjawab SPM di SMK Puteri, Seremban

Bertempat di Salun Puteri, SMK Puteri Seremban pada 4 Mei 2012 ( Jumaat ),satu Bengkel Teknik Menjawab SPM Mata Pelajaran MPV PMDR bagi calon SPM SMK Puteri telah disempurnakan oleh Ketua Panitia MPV Puan Yusrina Hanim. Jemputan memberikan ceramah dan mengendalikan bengkel ini diberikan sebagai penghargaan dan keyakinan daripada sekolah yang terbabit terhadap tenaga pengajar dari SMK Taman Tuanku Jaafar membimbing anak-anak didik dari sekolah tersebut untuk terus melakar kejayaan dan kecemerlangan.

Bermula dari jam 1.30 petang sehingga jam 3.45 petang, bengkel ini telah berlangsung di dalam Salun Puteri yang mula beroperasi sejak tahun 2011. Memandangkan mata pelajaran MPV PMDR ini merupakan mata pelajaran yang baru ditawarkan di SMK Puteri, tambahan pula 18 orang pelajar yang hadir merupakan calon pertama yang akan mengambil kertas peperiksaan SPM MPV PMDR. Oleh yang demikian, sudah pastinya mereka mahukan keputusan yang baik dan cemerlang dapat dihasilkan. Jika dibandingkan dengan usia MPV PMDR di SMKTTJ yang sudah memasuki tahun ke-7 sudah pastinya SMK PUteri juga berusaha untuk menempa kejayaan dan kecemerlangan dalam pemcapaian peperiksaan SPM bagi mata pelajaran ini.

Sepanjang lebih 2 jam mengendalikan bengkel ini, respon pelajar adalah amat baik. Masing-masing menunjukkan minat dan keyakinan yang tinggi untuk belajar serta menyampaikan hasrat mereka untuk cemerlang. Dipenghujung bengkel, penceramah telah diberikan sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih atas kesudian meluangkan masa menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar. Semoga para pelajar ini dapat mempraktikkan ilmu yang telah diperolehi untuk mencapai keputusan yang baik seterusnya bersama-sama menaikkan pencapaian mata pelajaran MPV PMDR ini agar menjadi matapelajaran yang paling cemerlang di peringkat Negeri Sembilan.









Jumaat, 23 Mac 2012

Jamuan di A & W

Bertempat di Restoren A&W Seremban, seramai 5 orang pelajar yang telah membantu semasa slot ceramah Penjagaan Kesihatan dan Kecantikan sempena Perkhemahan Pandu Daerah Seremban telah dijamu dengan sedikit jamuan ringan yang merupakan menu pilihan mereka sendiri. Sebagai menghargai sumbangan mereka membantu guru sepanjang sesi ceramah berlangsung, kelima-lima orang pelajar ini hadir dengan begitu ceria tambahan pula kehadiran mereka adalah dijemput oleh guru mereka sendiri dari rumah ke rumah.

Selama hampir 1 jam berehat sambil menikmati hidangan, peluang ini juga diambil oleh guru MPV untuk berkongsi masalah pembelajaran serta memberikan suntikan semangat kepada pelajar ini untuk terus fokus kepada pelajaran seterusnya mencapai keputusan yang cemerlang. Ternyata setiap pelajar ini mempunyai hasrat ingin berjaya, namun masing-masing sangat memerlukan sokongan yang terus menerus dari guru-guru dan ibu bapa. Selesai jamuan, kami menghabiskan masa berjalan dan bershopping di Seremban Parade. Kesemua pelajar ini telah selamat dihantar pulang ke rumah sebelum jam 7.30 malam.