Selasa, 6 Disember 2011

Jamuan Akhir Tahun Tingkatan 5 MPV di Mc Donalds Senawang

Hari terakhir sebagai pelajar sekolah.... hari terakhir mereka memakai uniform sekolah.. juga hari terakhir mereka akan duduk bersama-sama... kerana selepas ini, masing-masing akan membawa haluan sendiri...

Selesai menduduki Kertas MPV Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut - Peperiksaan SPM seramai 15 orang pelajar MPV ini berkumpul di Mc Donalds Senawang bagi meraikan hari terakhir mereka bersama-sama. Jamuan ini juga adalah satu penghargaan yang diberikan oleh Panitia MPV kepada kesemua pelajar yang telah gigih menjayakan Bulan Keusahawanan dan Projek Kerjaya MPV yang lepas. Wang yang diterima hasil dari titik peluh mereka memberikan khidmat kepada pelanggan telah diberikan kepada pelajar-pelajar ini sebagai gaji / upah mereka menjalankan tugas

Suasana ceria menyelubungi segenap ruang bilik yang ditempah khas ini. Tambah menggembirakan apabila kesemua 15 orang pelajar MPV dapat sama-sama berkumpul meraikan hari terakhir ini. Duduk semeja dambil menjamu selera... Namun, perasaan sayu tidak dapat disembunyi tatkala majlis berakhir apabila ada pelajar yang mengalirkan air mata kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan yang lain kerana selepas ini, adalah sukar untuk mengumpulkan kembali kesemua pelajar ini untuk bersama-sama seperti hari ni.

Kepada semua pelajar-pelajar Tingkatan 5 UUM 2011.. Panitia MPV mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua di atas segala kerjasama dan pengorbanan anda sehingga dapat meningkatkan nama baik Panitia MPV.. Didoakan semua pelajar ini akan mendapat kejayaan yang cemerlang dalam keputusan SPM yang akan diumumkan nanti... 










Jumaat, 11 November 2011

Anugerah Cemerlang Bilik-Bilik Khas 2011 SMKTTJ


Syukur Alhamdulillah.. Bilik MPV Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut SMK Taman Tuanku Jaafar telah dipilih sebagai penerima anugerah sulung Kategori Bilik-Bilik Khas bersempena dengan Hari Kualiti dan Kecemerlangan SMKTTJ Tahun 2011.

Majlis yang berlangsung pada  hari Jumaat - 11.11.2011 dan dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu YAB Dato' seri Utama Hj, Mohamad bin Haji Hasan di Dataran Cendekiawan, SMKTTJ. Bilik MPV telah menerima hadiah berupa sijil penghargaan serta wang saguhati sebanyak RM100.

Panitia MPV mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada pihak sekolah yang telah memilih Bilik MPV sebagai pemenang, juga kepada guru-guru serta semua pelajar yang telah menggunakan bilik ini serta mengiktiraf bilik ini sebagai antara bilik khas yang cemerlang sepanjang tahun 2011. Semoga kejayaan ini akan menyuntik semangat kepada guru-guru dan pelajar-pelajar MPV untuk meneruskan  kecemerlangan ini.






Selasa, 11 Oktober 2011

PERTANDINGAN MEJA KANTIN BERMAKLUMAT ANJURAN JAWATANKUASA KANTIN SMKTTJ 2011

Pertandingan Meja Kantin Bermaklumat anjuran Jawatankuasa Kantin SMKTTJ telah membuka peluang kepada Panitia MPV untuk menambahkan satu lagi akviti tahunan bagi melengkapkan kalender tahun 2011. Pertandingan ini yang diwajibkan kepada semua panitia matapelajaran di SMKTTJ dengan objektif utama untuk menceriakan kantin serta menyampaikan informasi panitia kepada semua warga sekolah. 

Persediaan telah dibuat oleh sekumpulan 5 orang pelajar dari Tingkatan 5 UUM - Nurhayana Noh, Ain Adiba Ayub, Nurul Nadia Khahar, Siti Hazirah Ishak dan Nurul Najihah Razali dengan bimbingan oleh Puan Yusrina Hanim serta Puan Raja Hajarimah. Bimbingan diberikan oleh guru penasihat tentang bahan-bahan yang diperlukan untuk ditampal sebagai bahan informasi serta tunjuk ajar kaedah mencari bahan maklumat berkaitan bidang kecantikan menggunakan teknologi ICT. Ternyata terdapat segelintir pelajar yang mahir manakala sebilangan yang jarang menggunakan kemudahan ICT dapat mempelajarinya secara terus melalui bimbingan yang diberikan.

Guru pembimbing turut memberikan peluang kepada pelajar menggunakan kemahiran dan kekreatifan yang mereka ada untuk menghias meja kantin namun masih di bawah pengawasan. Walaupun agak lewat memulakan kerja-kerja menghias, namun akhirnya Panitia MPV menjadi Panitia kedua yang berjaya menyiapkan meja bermaklumat ini selepas Panitia Biologi pada hari yang sama. Jutaan terima kasih ditujukan kepada pihak pengurusan kantin SMKTTJ kerana banyak memberi bantuan terutamanya menyediakan alas getah yang baru serta memberi khidmat peminjaman tukul besi.

Semoga dengan adanya meja kantin bermaklumat seperti ini, seluruh warga sekolah terutamanya para pelajar akan lebih mengenali fungsi dan subjek yang ditawarkan dalam matapelajaran MPV serta secara tidak langsung meja bermaklumat ini dapat menjadi fungsi kedua selain daripada papan kenyataan panitia untuk warga sekolah mendapatkan informasi yang berkaitan. Menjadi harapan kami, agar warga sekolah dapat sama-sama menjaga meja-meja ini agar sentiasa dalam keadaan baik dan bersih sentiasa.













Jumaat, 7 Oktober 2011

MPV KEKAL JUARA...PERTANDINGAN ANJURAN PSS SMKTTJ TAHUN 2011

Syukur Alhamdulillah.. buat kali kedua.. Panitia MPV telah berjaya mengekalkan pencapaian sebagai Johan  Pertandingan Keceriaan Bilik Khas anjuran Pusat Sumber Sekolah SMK Taman Tuanku Jaafar bagi tahun 2011. Kejayaan ini merupakan kejayaan buat kali kedua berturut-turut selepas berjaya menjuarai pertandingan yang sama pada tahun 2010. Lebih manis, Panitia MPV juga turut mendapat Naib Johan bagi Pertandingan Membuat Brosur Bilik Khas untuk tahun 2011, juga mengekalkan kedudukan yang sama seperti tahun lepas.

Yang nyata, kejayaan yang dicapai ini adalah hasil kerjasama dan sokongan dari guru, pembantu bengkel serta semua pelajar MPV tanpa mengira masa. Maisng-masing berusaha untuk memastikan Bilik MPV sentiasa dalam keadaan yang bersih, ceria dan kondusif untuk sesi P&P. Semoga kejayaan ini akan menjadi penyuntik semangat bagi para pelajar untuk terus belajar dan mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM tidak lama lagi...



Ahad, 2 Oktober 2011

KE MANAKAH HALA TUJU MPV SELEPAS DIMANSUHKAN...?

Subjek Vokasional Mansuh 2012


KULIM 26 Jun – Kementerian Pelajaran akan memansuhkan pengajaran mata pelajaran Vokasional (MPV) di semua sekolah harian secara berperingkat mulai sesi pengajian 2012.


Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.
“Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV).
“PAV dikhususkan untuk pelajar peringkat tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah cemerlang Hari Apresiasi Panglima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar di sini, hari ini.


Mohd. Puad memberitahu, berdasarkan perancangan, semua peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran MPV serta Kemahiran Hidup di sekolah harian sedia ada akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Kolej Vokasional kelak.


Selain itu, katanya, kementerian turut bercadang melanjutkan tempoh pengajian peringkat menengah atas kepada tiga tahun berbanding dua tahun di Sekolah Menengah Teknik atau Vokasional sebelum ini.
“Selepas pelajar menamatkan peringkat pengajian menengah atas di Kolej Vokasional selama tiga tahun, mereka layak diberikan SKM Tahap IV,” jelasnya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM262.4 juta untuk tujuan pemberian biasiswa kepada pelajar sekolah di seluruh negara tahun ini.
“Bantuan terbabit dinamakan Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Sukan dan Biasiswa Pra Universiti. Bantuan pertama dan kedua diberikan berdasarkan kes-kes tertentu dan kecemerlangan dalam bidang sukan.
“Sementara Biasiswa Pra Universiti diberikan kepada pelajar tingkatan enam yang layak mengikut kadar RM114 sebulan bagi pelajar aliran Sains dan RM90 aliran sastera,” jelasnya.


ARKIB : 27/06/2011 - DIPETIK DARI UTUSAN ONLINE

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm




Dunia pendidikan vokasional gempar seketika tatkala Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi membuat pengumuman mengejut itu. Ternyata, guru-guru yang mengajar mata pelajaran MPV telah menerima soalan yang bertalu-talu dari rakan-rakan guru serta para pelajar yang mahukan kepastian tentang perkara berkenaan. Namun, bagi guru MPV, kami telah mula mendengar khabar berkaitan perkara ini sejak tahun 2009 lagi dimana matapelajaran MPV ini akan mula diajar di Tingkatan 1 mulai tahun 2011. Namun, disebabkan tiada surat rasmi memaklumkan perkara ini dan tiada panggilan mesyuarat yang berkaitan, makanya masing-masing meneruskan tugas seperti biasa.

Namun, pada tahun 2011 ini, apabila pengumuman secara rasmi dibuat semula dan pelaksanaan ke arah untuk merealisasikannya kelihatan benar, maka guru-guru MPV mulai kelihatan bimbang dan risau. Manakan tidak, ada bengkel yang baru saja mula dibuka tidak sampai setahun terpaksa dipindahkan ke Sekolah Menengah Teknik. Ada juga yang risau berkenaan lokasi penempatan semula guru-guru opsyen MPV yang tidak nampak kemana halanya setelah MPV dimansuhkan. Maka, masing-masing mula bertanya ke sana sini kekosongan tempat di sekolah-sekolah teknik dan vokasional yang berhampiran. Pada yang tidak mahu berpindah, mulai mengintai kekosongan matapelajaran lain untuk diajar untuk sesi akan datang. Tetapi, apabila dinyatakan matapelajaran Pendidikan Asas Vokasional ( PAV ) akan diwujudkan menggantikan MPV, masing-masing menarik nafas lega. Tidak perlu lagi risau berkaitan perpindahan sekolah kerana dimaklumkan PAV akan dilaksanakan di sekolah asal matapelajaran MPV. Sebagai permulaan, beberapa buah sekolah yang dipilih di setiap negeri sebagai sekolah rintis yang menawarkan matapelajaran PAV untuk Tingkatan 1. Maka, sekolah-sekolah lain yang masih belum menerima surat rasmi, akan meneruskan mata pelajaran MPV di sekolah sedia ada. 


SUBJEK MPV DIMANSUH DI SEKOLAH HARIAN MULAI 2012

Mata pelajaran vokasional (MPV) akan dimansuhkan di semua sekolah harian secara berperingkat mulai tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

"Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV).

"PAV ini dikhususkan untuk pelajar peringkat Tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat," katanya.

Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan perancangan, semua peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran MPV serta Kemahiran Hidup di sekolah harian sedia ada akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Kolej Vokasional kelak.

Beliau berkata, kementerian turut bercadang melanjutkan tempoh pengajian peringkat menengah atas kepada tiga tahun berbanding dua tahun di sekolah menengah teknik atau vokasional sebelum ini.

"Selepas pelajar menamatkan peringkat pengajian menengah atas di Kolej Vokasional selama tiga tahun, mereka layak diberikan SKM Tahap IV," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya Kementerian Pelajaran sudah memperuntukkan sejumlah RM242.6 juta untuk Program Biasiswa Kerajaan Persekutuan, Biasiswa Sukan dan Biasiswa Pra-Universiti untuk tahun ini.

(Sumber: BHarian - 26/06/11)



Perubahan demi perubahan akan senantiasa dilakukan dalam dunia pendidikan. Semuanya adalah untuk memastikan para pelajar akan menjadi golongan utama yang sentiasa diberikan keistimewaan untuk meningkatkan potensi ke arah yang lebih baik. Maka sebagai guru dan pelajar, kita harus terus memberi sokongan yang padu serta memanfaatkan segala peluang yang diberi untuk memastikan kecemerlangan diri dan sekolah dapat dipertingkatkan. 


Ahad, 25 September 2011

MAJLIS JALINAN MESRA AIDILFITRI 2011

Buat julung kalinya Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dianjurkan oleh Kelab Guru dan Staff di SMK Taman Tuanku Jaafar dengan melibatkan para guru, staf sokongan, para pelajar serta komuniti luar pada 23 September 2011 ( Jumaat ) di Dataran Cendekiawan. Dengan kehadiran seramai hampir 1000 orang pelajar pada hari tersebut, ternyata majlis seumpama ini telah mendapat sambutan yang diluar jangkaan. Tetamu jemputan yang turut hadir adalah YB Khairy Jamaludin ( DUN Rembau ), YM Tunku Ellie Badariah ( Naib Presiden Bola Sepak Perempuan Malaysia ), En. Smith M. Ampuling dan Pn. Zhang ( Jurulatih Bola Sepak FAM ), Inspektor Jusman, Imam dari Masjid Taman Tuanku Jaafar, serta AJK-AJK PIBG SMKTTJ.

Kehadiran YB Khairy Jamaludin mendapat tepukan dan sorakan dari para pelajar yang memang ternanti-nanti untuk melihat beliau dari dekat. Beliau turut menyampaikan ucapan serta kata-kata semangat kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM tidak lama lagi. Majlis diteruskan dengan jamuan makan dan persembahan pelajar. Diakhir majlis, YB Khairy turut meluangkan masa untuk bergambar bersama para pelajar dan guru-guru SMKTTJ. Sikap sporting yang ditunjukkan oleh beliau membuatkan para pelajar begitu gembira dan berebut-rebut untuk bergambar dengan beliau.

Semoga majlis seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Selain dapat mengukuhkan ukhuwah sesama warga sekolah, majlis ini juga dapat merapatkan hubungan di antara warga SMKTTJ dengan komuniti luar.
















Khamis, 4 Ogos 2011

BULAN KEUSAHAWANAN DAN PROJEK KERJAYA MPV TAHUN 2011 TELAH BERAKHIR

Syukur Alhamdulillah.. Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV telah berakhir pada penghujung bulan Julai 2011. Selama sebulan bermula dari 4hb Julai  sehinggalah 29hb Julai semua pelajar Tingkatan 5 UUM / MPV telah bekerja keras bagi memastikan Projek ini berjalan dengan lancar. Untuk makluman, Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV ini merupakan satu projek yang bertujuan khusus bagi mendedahkan para pelajar aliran MPV ini terhadap kerjaya sebenar pengamal kecantikan. Melalui projek ini, pelajar akan melibatkan diri mereka dengan memberikan perkhidmatan penjagaan muka dan dandanan rambut yang telah dipelajari di dalam kelas kepada para pelanggan yang terdiri dari warga sekolah dan komuniti luar. Selain itu, pelajar juga didedahkan secara langsung dengan pelbagai aspek lain seperti komunikasi yang berkesan, mempraktikkan langkah membuat keputusan, memasarkan / mengiklankan perkhidmatan serta menguruskan kewangan dengan bijak.

Buat kali pertamanya pada tahun ini, Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV ini mula dibuka perkhidmatannya kepada komuniti luar setelah sebelum ini perkhidmatan yang diberikan tertumpu kepada warga sekolah sahaja. Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan di mana terdapat permintaan komuniti luar seperti kaum keluarga dan jiran tetangga kepada para pelajar MPV sendiri datang mendapatkan perkhidmatan kecantikan. Pelajar MPV sendiri memainkan peranan dengan mengiklankan sendiri perkhidmatan yang diberikan dan berusaha keras bagi memastikan hasil kutipan yang diperolehi untuk tahun ini melebihi sasaran yang ditetapkan. Selama 4 minggu menjalankan urusniaga di Bilik MPV SMK Taman Tuanku Jaafar, hasil kutipan yang diperolehi secara kasar adalah RM600++.

Setiap pelajar MPV diwajibkan terlibat secara langsung dalam projek ini. Mereka dibahagikan kepada kumpulan kecil yang akan bertugas setiap minggu. Setiap kumpulan yang dilantik, diberikan tarikh sepanjang minggu untuk menjalankan tugas sebagai Pengurus Salun manakala, rakan yang lain akan menjadi pekerja. Ini berterusan apabila masuk ke minggu seterusnya, kumpulan lain pula akan bertugas menjadi Pengurus dan bertukar jawatan dan peranan. Di sini, kemahiran memimpin di kalangan pelajar dapat diuji - bagaimanakan pasukan mereka dapat menguruskan perjalanan perniagaan sepanjang minggu itu agar dapat dijalankan dengan baik dan lancar, bila masa ada ketikanya pelanggan yang datang terlalu ramai menyebabkan kekurangan tenaga pekerja yang bertugas, dan ada masanya juga terdapat pekerja yang curi tulang dan tidak datang bertugas. Guru tidak akan menyelesaikan masalah tersebut, hanya bertindak sebagai pemerhati dan adakalanya menjalankan fungsi sebagai Penasihat kepada pihak pengurusan. Sebarang keputusan bergantung kepada kebijaksanaan pelajar memainkan peranan menjadi pemimpin yang baik dan disenangi. Jelas, sepanjang projek berlangsung, semua pelajar dilihat dapat memberikan kerjasama yang baik sehingga sanggup berkampung di sekolah. Setiap hari pelajar akan berada di Bilik MPV sehingga waktu perkhidmatan tamat sekitar jam 4.30 petang namun ada masanya juga sehingga jam 6.00 petang. Begitu juga dengan hari Sabtu hujung minggu, pelajar yang bertugas tetap datang menanti kunjungan pelanggan dan membawa sendiri bekalan makanan untuk mengalas perut sehingga petang.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga SMK Taman Tuanku Jaafar serta komuniti di Taman Tuanku Jaafar atas kesudian membantu menjayakan Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV 2011 ini. Pengalaman yang diterima ini, cukup berharga buat pelajar Tingkatan 5 MPV. Juga tidak ketinggalan terima kasih yang tidak terhingga kepada bekas pelajar MPV - Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut SMKTTJ batch 2008 yang turut hadir memberikan sokongan padu kepada adik-adik MPV mereka.


Terima Kasih dari Kami......Kita jumpa lagi tahun 2012 !!!




Pengurus Minggu 1 ( 4hb - 8hb Julai 2011 )
Siti Hazirah, Siti Nabilah , Noor Aliyah dan Kalaiwani




Pengurus Minggu 2 ( 11hb - 15hb Julai 2011)
Nur Aqilah, Nur Fitrah Ain, Nur Syazwani Ajlaa dan Letchumy



Pengurus Minggu 3 ( 18hb - 22hb Julai 2011 )
Nurhayana, Ain Adiba dan Shalini




Pengurus Minggu 4 ( 25hb - 29hb Julai 2011 )
Nurul Najihah, Nurul Nadia, Ros Izzati dan Wan Nur Adilla







CORAT CORET SEPANJANG BULAN KEUSAHAWANAN DAN PROJEK KERJAYA MPV TAHUN 2011


Gaya seorang Pengurus...





Bila pekerja x mencukupi, Pengurus kena turun padang...




Berkelah di dalam stor Bilik MPV......





Membuat rawatan muka pada wajah ibu sendiri....




Tidak lepaskan peluang untuk merasakan perkhidmatan yang berbayar.. selama ini, mendapatkan perkhidmatan percuma di dalam kelas.. lain dan seronok rasanya bila kene bayar.....




Bekas Pelajar MPV dari batch tahun 2008 turut datang memberikan sokongan..



Pelanggan paling kecil datang meluruskan rambut









Apapun sanggup, asalkan boleh nampak cantik...



JUMPA LAGI.... ~