Khamis, 4 Ogos 2011

BULAN KEUSAHAWANAN DAN PROJEK KERJAYA MPV TAHUN 2011 TELAH BERAKHIR

Syukur Alhamdulillah.. Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV telah berakhir pada penghujung bulan Julai 2011. Selama sebulan bermula dari 4hb Julai  sehinggalah 29hb Julai semua pelajar Tingkatan 5 UUM / MPV telah bekerja keras bagi memastikan Projek ini berjalan dengan lancar. Untuk makluman, Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV ini merupakan satu projek yang bertujuan khusus bagi mendedahkan para pelajar aliran MPV ini terhadap kerjaya sebenar pengamal kecantikan. Melalui projek ini, pelajar akan melibatkan diri mereka dengan memberikan perkhidmatan penjagaan muka dan dandanan rambut yang telah dipelajari di dalam kelas kepada para pelanggan yang terdiri dari warga sekolah dan komuniti luar. Selain itu, pelajar juga didedahkan secara langsung dengan pelbagai aspek lain seperti komunikasi yang berkesan, mempraktikkan langkah membuat keputusan, memasarkan / mengiklankan perkhidmatan serta menguruskan kewangan dengan bijak.

Buat kali pertamanya pada tahun ini, Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV ini mula dibuka perkhidmatannya kepada komuniti luar setelah sebelum ini perkhidmatan yang diberikan tertumpu kepada warga sekolah sahaja. Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan di mana terdapat permintaan komuniti luar seperti kaum keluarga dan jiran tetangga kepada para pelajar MPV sendiri datang mendapatkan perkhidmatan kecantikan. Pelajar MPV sendiri memainkan peranan dengan mengiklankan sendiri perkhidmatan yang diberikan dan berusaha keras bagi memastikan hasil kutipan yang diperolehi untuk tahun ini melebihi sasaran yang ditetapkan. Selama 4 minggu menjalankan urusniaga di Bilik MPV SMK Taman Tuanku Jaafar, hasil kutipan yang diperolehi secara kasar adalah RM600++.

Setiap pelajar MPV diwajibkan terlibat secara langsung dalam projek ini. Mereka dibahagikan kepada kumpulan kecil yang akan bertugas setiap minggu. Setiap kumpulan yang dilantik, diberikan tarikh sepanjang minggu untuk menjalankan tugas sebagai Pengurus Salun manakala, rakan yang lain akan menjadi pekerja. Ini berterusan apabila masuk ke minggu seterusnya, kumpulan lain pula akan bertugas menjadi Pengurus dan bertukar jawatan dan peranan. Di sini, kemahiran memimpin di kalangan pelajar dapat diuji - bagaimanakan pasukan mereka dapat menguruskan perjalanan perniagaan sepanjang minggu itu agar dapat dijalankan dengan baik dan lancar, bila masa ada ketikanya pelanggan yang datang terlalu ramai menyebabkan kekurangan tenaga pekerja yang bertugas, dan ada masanya juga terdapat pekerja yang curi tulang dan tidak datang bertugas. Guru tidak akan menyelesaikan masalah tersebut, hanya bertindak sebagai pemerhati dan adakalanya menjalankan fungsi sebagai Penasihat kepada pihak pengurusan. Sebarang keputusan bergantung kepada kebijaksanaan pelajar memainkan peranan menjadi pemimpin yang baik dan disenangi. Jelas, sepanjang projek berlangsung, semua pelajar dilihat dapat memberikan kerjasama yang baik sehingga sanggup berkampung di sekolah. Setiap hari pelajar akan berada di Bilik MPV sehingga waktu perkhidmatan tamat sekitar jam 4.30 petang namun ada masanya juga sehingga jam 6.00 petang. Begitu juga dengan hari Sabtu hujung minggu, pelajar yang bertugas tetap datang menanti kunjungan pelanggan dan membawa sendiri bekalan makanan untuk mengalas perut sehingga petang.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga SMK Taman Tuanku Jaafar serta komuniti di Taman Tuanku Jaafar atas kesudian membantu menjayakan Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV 2011 ini. Pengalaman yang diterima ini, cukup berharga buat pelajar Tingkatan 5 MPV. Juga tidak ketinggalan terima kasih yang tidak terhingga kepada bekas pelajar MPV - Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut SMKTTJ batch 2008 yang turut hadir memberikan sokongan padu kepada adik-adik MPV mereka.


Terima Kasih dari Kami......Kita jumpa lagi tahun 2012 !!!




Pengurus Minggu 1 ( 4hb - 8hb Julai 2011 )
Siti Hazirah, Siti Nabilah , Noor Aliyah dan Kalaiwani




Pengurus Minggu 2 ( 11hb - 15hb Julai 2011)
Nur Aqilah, Nur Fitrah Ain, Nur Syazwani Ajlaa dan Letchumy



Pengurus Minggu 3 ( 18hb - 22hb Julai 2011 )
Nurhayana, Ain Adiba dan Shalini




Pengurus Minggu 4 ( 25hb - 29hb Julai 2011 )
Nurul Najihah, Nurul Nadia, Ros Izzati dan Wan Nur Adilla







CORAT CORET SEPANJANG BULAN KEUSAHAWANAN DAN PROJEK KERJAYA MPV TAHUN 2011


Gaya seorang Pengurus...





Bila pekerja x mencukupi, Pengurus kena turun padang...




Berkelah di dalam stor Bilik MPV......





Membuat rawatan muka pada wajah ibu sendiri....




Tidak lepaskan peluang untuk merasakan perkhidmatan yang berbayar.. selama ini, mendapatkan perkhidmatan percuma di dalam kelas.. lain dan seronok rasanya bila kene bayar.....




Bekas Pelajar MPV dari batch tahun 2008 turut datang memberikan sokongan..



Pelanggan paling kecil datang meluruskan rambut









Apapun sanggup, asalkan boleh nampak cantik...



JUMPA LAGI.... ~