Khamis, 7 Julai 2011

KURSUS SOLEKAN STAGE - KOLABORASI PANITIA MPV SMKTTJ & DUAL TRAINING INSTITUTE

Buat kali pertama, Panitia MPV dengan kerjasama bekas pelajar MPV PMDR dan Dual Training Institute, Seremban 2 menganjurkan Kursus Solekan Stage khusus untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5 MPV. Khusus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta keyakinan pelajar MPV untuk menghasilkan solekan stage yang tidak dipelajari dalam silibus mata pelajaran MPV tetapi merupakan soalan wajib yang terkandung dalam kertas Peperiksaan SPM MPV PMDR. Justeru itu, guru MPV melihat ia adalah satu peluang untuk mendedahkan pelajar MPV secara realiti dengan teknik solekan ini bagi memudahkan pelajar mendapatkan gambaran dan pengalaman secara realiti menghasilkan solekan ini. Tambahan pula, tenaga pengajar yang hadir merupakan bekas pelajar MPV dari SMKTTJ yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Jurukecantikan di Dual Training Institute.

Selain bekas pelajar MPV 2010 iaitu Nurul Aida, Umi Kalsom, Afiqah Nafisah dan Farah, kursus ini turut dihadiri oleh 2 orang Pegawai Penilai dari DTI iaitu Cik Nadia dan Cik Aisyah serta seorang Ketua Unit DTI iaitu Encik Kadir yang telah menyampaikan ucapan aluan serta memberi sedikit taklimat berkaitan kursus yang ditawarkan di DTI. Ternyata melalui penerangan tersebut, pelajar MPV mulai sedar dan nampak hala tuju mereka apabila tamat SPM nanti. Tambah menarik, Cik Aisyah yang merupakan Pegawai Penilai yang mengkhusus dalam bidang dandanan rambut merupakan seorang penerima Anugerah Tangan Emas dalam Pertandingan MySkill Peringkat Kebangsaan. Kursus turut diserikan dengan kehadiran Puan Azura Hanim dan Encik Akmal selaku Pengarah dan Penolong Pengarah DTI. Ternyata sepanjang berada di dalam Bilik MPV, mereka merakamkan rasa kagum dengan pencapaian pelajar MPV serta tidak ketinggalan mengambil banyak foto-foto keceriaan di Bilik MPV sebagai rujukan mereka untuk dibawa dan digunapakai di DTI.

Selesai sesi taklimat pengenalan dari Ketua Unit DTI, En. Kadir, semua tetamu menjamu selera di kantin sekolah. Jam 10.00 pagi, kursus dimulakan dengan kelas teori dan demonstrasi solekan. Ternyata semua pelajar MPV sangat teruja dan kelihatan berminat dengan solekan yang diajar. Selesai demonstrasi, pelajar dibahagikan kepada kumpulan untuk amali. Setiap kumpulan terdiri dari 4 orang pelajar dan mereka memilih contoh-contoh foto solekan stage untuk disolekkan kepada rakan sekumpulan. Ternyata, sepanjang kelas amali berlangsung, pelajar-pelajar ini mendapat pujian yang tidak putus dari tenaga pengajar berikutan mereka mempamerkan bakat menyolek yang tinggi serta kreatif. Sebagai tanda sokongan, Tuan Pengetua, Penolong Kanan Akademik dan Ketua Bidang Teknik dan Vokasional turut hadir dalam kursus ini.

Sehingga jam 1.15 tengahari, semua pelajar telah berjaya menghasilkan solekan stage yang menarik dan sama dengan foto yang dipilih. Rata-rata pelajar membuat rumusan bahawa solekan ini adalah mudah dan tidaklah sesusah yang disangkakan. Hanya memerlukan imaginasi pelajar, solekan stage yang cantik dan menarik akan dapat dihasilkan. Sebelum pulang, semua tetamu dari DTI telah dijamu dengan makan tengahari di kantin sekolah sekali lagi.

Panitia MPV merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan pengajar dan fasilitator dari DTI yang telah membantu menjayakan kursus ini. Semoga usaha kolaborasi ini dapat diteruskan pada masa akan datang.... 































Rabu, 6 Julai 2011

BULAN KEUSAHAWANAN DAN PROJEK KERJAYA MPV SMKTTJ 2011




Bulan Keusahawanan dan Projek Kerjaya MPV 2011 sedang berlangsung di Bilik MPV Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut, SMK Taman Tuanku Jaafar bermula 4hb Julai 2011 sehingga 29hb Julai 2011. Pelajar-pelajar dan guru-guru yang berminat boleh mendapatkan perkhidmatan ini mulai jam 8.30 pagi hingga jam 4.30 petang setiap hari. Semua pelajar digalakkan membuat tempahan terlebih dahulu dan surat kebenaran dari guru hendaklah diberikan semasa mendapatkan rawatan ketika waktu P & P. Untuk mendapatkan perkhidmatan pada hari Sabtu ( hujung minggu ), pelanggan dikehendaki merujuk kepada pelajar MPV dari Tingkatan 5 UUM untuk membuat temujanji.


PAKEJ HARGA PELAJAR :

Solekan Muka ( RM 6.00 )
Rawatan Asas Muka ( RM 8.00 )
Rawatan Khas Muka ( RM 10.00 )
Syampu Rambut RM 4.00 )
Rawatan Rambut ( RM 10.00 )
Gunting Rambut ( RM 4.00 )
Pelurusan / Pewarnaan Rambut ( RM 15.00 )
Penggayaan Rambut ( RM 6.00 )



 
PAKEJ HARGA GURU :

Solekan Muka ( RM 8.00 )
Rawatan Asas Muka ( RM 10.00 )
Rawatan Khas Muka ( RM 12.00 )
Syampu Rambut RM 5.00 )
Rawatan Rambut ( RM 12.00 )
Gunting Rambut ( RM 5.00 )
Pelurusan / Pewarnaan Rambut ( RM 15.00 )
Penggayaan Rambut ( RM 10.00 )



PAKEJ HARGA KOMUNITI LUAR :

Solekan Muka ( RM 10.00 )
Rawatan Asas Muka ( RM 15.00 )
Rawatan Khas Muka ( RM 20.00 )
Syampu Rambut RM 6.00 )
Rawatan Rambut ( RM 20.00 )
Gunting Rambut ( RM 6.00 )
Pelurusan / Pewarnaan Rambut ( RM 35.00 )
Penggayaan Rambut ( RM 15.00 )

Selasa, 5 Julai 2011

PERASMIAN BILIK MPV DAN PELANCARAN BULAN KEUSAHAWANAN & PROJEK KERJAYA MPV 2011

Syukur Alhamdulillah... Majlis yang dirancang oleh Panitia MPV telah berjalan dengan lancar. Tarikh 4 Julai 2011 telah dipilih untuk melakar satu lagi sejarah buat Panitia MPV. Majlis Perasmian Bilik MPV dan Pelancaran Bulan Keusahawanan dan Kerjaya MPV 2011 telah disempurnakan oleh Pengasas Produk Shadira Kosmetik yang terkenal iaitu Puan Arisah bt Abdullah dan turut disaksikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Seremban yang baru iaitu Tuan Mohd Sah, YDP PIBG, Pengetua dan guru-guru SMKTTJ.

Tahun 2011 ini masuk tahun ke-6 Bilik MPV beroperasi dan telah berjaya melahirkan lebih kurang 100 orang pelajar jurusan Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut. Oleh yang demikian, memandangkan Bilik MPV ini masih belum dirasmikan, maka Panitia mula merancang perjalanan majlis ini sejak awal tahun lagi dan memilih tarikh ini kerana dilihat bersesuaian untuk digabungkan bersama dengan Pelancaran Bulan Keusahawanan dan Kerjaya MPV yang bermula pada bulan Julai setiap tahun.

Kehadiran Puan Arisah Abdullah selaku perasmi majlis telah menarik perhatian seluruh warga SMKTTJ. Beliau merupakan salah seorang usahawan kosmetik yang terkenal dan produk keluaran beliau dipasarkan ke seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia dan beberapa negara serantau. Oleh yang demikian, beliau dilihat sebagai ikon seorang tokoh usahawan wanita dalam industri kosmetologi yang cukup berjaya. Kesudian beliau untuk hadir merasmikan majlis amat menggembirakan tambahan beliau turut memberikan cenderamata untuk guru-guru wanita dan pelajar-pelajar MPV. Ini juga dilihat sebagai langkah pertama kolaborasi Panitia MPV bersama komuniti luar dengan harapan Panitia ini akan dikenali oleh masyarakat luar serta dapat menjalinkan hubungan yang lebih baik seterusnya membantu memasarkan pelajar-pelajar MPV ke pasaran luar sebagai satu produk berjenama dari SMKTTJ.

Bersyukur.. sepanjang majlis berlangsung, Panitia MPV telah mendapat pujian yang tidak putus-putus dari Puan Arisah dan Pegawai PPD.. Ternyata usaha yang dilakukan selama ini telah berhasil dan dapat menjadi contoh kepada pihak lain. Projek untuk keceriaan Bilik MPV telah bermula sejak tahun ke-2 MPV beroperasi iaitu pada tahun 2007. Bermula dengan kerja-kerja mengecat, menambah informasi, membuat langsir, membuat papan tanda sehinggalah ke hari sebelum majlis perasmian bermula. Projek keceriaan MPV akan berterusan bagi memastikan Bilik MPV kekal sebagai sebuah bilik kerja yang ceria dan dapat menarik minat pelajar untuk belajar dalam keadaan yang seronok.
Majlis bermula setelah selesainya upacara Perasmian Minggu Bahasa dan Minggu Teknik & Vokasional serta Program Lonjakan Saujana yang bertempat di Dataran Cendekiawan. Berlangsung di dalam Bilik MPV, Puan Arisah Abdullah menandatangani plak perasmian Bilik MPV seterusnya menarik riben pada banting pelancaran Bulan Keusahawanan dan Projek Kerjaya MPV. Tetamu seterusnya dipertontonkan dengan tayangan video berkaitan Perjalanan 6 tahun Panitia MPV di SMKTTJ dan diteruskan dengan demonstrasi pelajar-pelajar MPV membuat rawatan dan penggayaan rambut serta rawatan dan solekan muka. Setelah selesai, acara penyerahan cenderamata oleh Panitia MPV yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah kepada Perasmi Majlis.

Dengan perasmian dan pelancaran majlis ini, maka bermulalah juga Bulan Keusahawanan dan Projek Kerjaya MPV bagi tahun 2011. Buat kali pertama, kami mengalu-alukan penyertaan pelanggan dari luar sekolah yang ingin mendapatkan perkhidmatan rawatan muka dan rambut dengan harga yang cukup murah. Objektif Projek Kerjaya ini adalah untuk memastikan pelajar lebih yakin menguruskan perniagaan. Panitia telah menyediakan ruang kerja beserta modal untuk perniagaan, dan menjadi tanggungjawab pelajar untuk menguruskan perniagaan tersebut dari segi pemasaran, pengiklanan, pengurusan kerja, pengurusan tenaga pekerja dan pengurusan kewangan dengan baik. Guru akan memantau serta memberi bimbingan kepada pelajar dan menilai prestasi setiap individu bagi memastikan setiap seorang pelajar dapat menggunakan sepenuhnya peluang yang ada bagi melatih diri menjadi seorang pengurus dan pekerja dalam masa yang sama.

Panitia MPV merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada tetamu yang hadir terutama kepada Puan Arisah dan pembantu peribadi beliau, Pegawai Pelajaran Daerah, Tuan Pengetua, YDP PIBG serta semua guru-guru dan para pelajar yang sama-sama memeriahkan majlis ini. Ternyata, Panitia MPV telah mendapat sokongan yang cukup baik dari pelbagai pihak bagi memastikan program ini dapat berjalan dengan baik dan teratur.