Selasa, 5 Julai 2011

PERASMIAN BILIK MPV DAN PELANCARAN BULAN KEUSAHAWANAN & PROJEK KERJAYA MPV 2011

Syukur Alhamdulillah... Majlis yang dirancang oleh Panitia MPV telah berjalan dengan lancar. Tarikh 4 Julai 2011 telah dipilih untuk melakar satu lagi sejarah buat Panitia MPV. Majlis Perasmian Bilik MPV dan Pelancaran Bulan Keusahawanan dan Kerjaya MPV 2011 telah disempurnakan oleh Pengasas Produk Shadira Kosmetik yang terkenal iaitu Puan Arisah bt Abdullah dan turut disaksikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Seremban yang baru iaitu Tuan Mohd Sah, YDP PIBG, Pengetua dan guru-guru SMKTTJ.

Tahun 2011 ini masuk tahun ke-6 Bilik MPV beroperasi dan telah berjaya melahirkan lebih kurang 100 orang pelajar jurusan Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut. Oleh yang demikian, memandangkan Bilik MPV ini masih belum dirasmikan, maka Panitia mula merancang perjalanan majlis ini sejak awal tahun lagi dan memilih tarikh ini kerana dilihat bersesuaian untuk digabungkan bersama dengan Pelancaran Bulan Keusahawanan dan Kerjaya MPV yang bermula pada bulan Julai setiap tahun.

Kehadiran Puan Arisah Abdullah selaku perasmi majlis telah menarik perhatian seluruh warga SMKTTJ. Beliau merupakan salah seorang usahawan kosmetik yang terkenal dan produk keluaran beliau dipasarkan ke seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia dan beberapa negara serantau. Oleh yang demikian, beliau dilihat sebagai ikon seorang tokoh usahawan wanita dalam industri kosmetologi yang cukup berjaya. Kesudian beliau untuk hadir merasmikan majlis amat menggembirakan tambahan beliau turut memberikan cenderamata untuk guru-guru wanita dan pelajar-pelajar MPV. Ini juga dilihat sebagai langkah pertama kolaborasi Panitia MPV bersama komuniti luar dengan harapan Panitia ini akan dikenali oleh masyarakat luar serta dapat menjalinkan hubungan yang lebih baik seterusnya membantu memasarkan pelajar-pelajar MPV ke pasaran luar sebagai satu produk berjenama dari SMKTTJ.

Bersyukur.. sepanjang majlis berlangsung, Panitia MPV telah mendapat pujian yang tidak putus-putus dari Puan Arisah dan Pegawai PPD.. Ternyata usaha yang dilakukan selama ini telah berhasil dan dapat menjadi contoh kepada pihak lain. Projek untuk keceriaan Bilik MPV telah bermula sejak tahun ke-2 MPV beroperasi iaitu pada tahun 2007. Bermula dengan kerja-kerja mengecat, menambah informasi, membuat langsir, membuat papan tanda sehinggalah ke hari sebelum majlis perasmian bermula. Projek keceriaan MPV akan berterusan bagi memastikan Bilik MPV kekal sebagai sebuah bilik kerja yang ceria dan dapat menarik minat pelajar untuk belajar dalam keadaan yang seronok.
Majlis bermula setelah selesainya upacara Perasmian Minggu Bahasa dan Minggu Teknik & Vokasional serta Program Lonjakan Saujana yang bertempat di Dataran Cendekiawan. Berlangsung di dalam Bilik MPV, Puan Arisah Abdullah menandatangani plak perasmian Bilik MPV seterusnya menarik riben pada banting pelancaran Bulan Keusahawanan dan Projek Kerjaya MPV. Tetamu seterusnya dipertontonkan dengan tayangan video berkaitan Perjalanan 6 tahun Panitia MPV di SMKTTJ dan diteruskan dengan demonstrasi pelajar-pelajar MPV membuat rawatan dan penggayaan rambut serta rawatan dan solekan muka. Setelah selesai, acara penyerahan cenderamata oleh Panitia MPV yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah kepada Perasmi Majlis.

Dengan perasmian dan pelancaran majlis ini, maka bermulalah juga Bulan Keusahawanan dan Projek Kerjaya MPV bagi tahun 2011. Buat kali pertama, kami mengalu-alukan penyertaan pelanggan dari luar sekolah yang ingin mendapatkan perkhidmatan rawatan muka dan rambut dengan harga yang cukup murah. Objektif Projek Kerjaya ini adalah untuk memastikan pelajar lebih yakin menguruskan perniagaan. Panitia telah menyediakan ruang kerja beserta modal untuk perniagaan, dan menjadi tanggungjawab pelajar untuk menguruskan perniagaan tersebut dari segi pemasaran, pengiklanan, pengurusan kerja, pengurusan tenaga pekerja dan pengurusan kewangan dengan baik. Guru akan memantau serta memberi bimbingan kepada pelajar dan menilai prestasi setiap individu bagi memastikan setiap seorang pelajar dapat menggunakan sepenuhnya peluang yang ada bagi melatih diri menjadi seorang pengurus dan pekerja dalam masa yang sama.

Panitia MPV merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada tetamu yang hadir terutama kepada Puan Arisah dan pembantu peribadi beliau, Pegawai Pelajaran Daerah, Tuan Pengetua, YDP PIBG serta semua guru-guru dan para pelajar yang sama-sama memeriahkan majlis ini. Ternyata, Panitia MPV telah mendapat sokongan yang cukup baik dari pelbagai pihak bagi memastikan program ini dapat berjalan dengan baik dan teratur.