Khamis, 7 Julai 2011

KURSUS SOLEKAN STAGE - KOLABORASI PANITIA MPV SMKTTJ & DUAL TRAINING INSTITUTE

Buat kali pertama, Panitia MPV dengan kerjasama bekas pelajar MPV PMDR dan Dual Training Institute, Seremban 2 menganjurkan Kursus Solekan Stage khusus untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5 MPV. Khusus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta keyakinan pelajar MPV untuk menghasilkan solekan stage yang tidak dipelajari dalam silibus mata pelajaran MPV tetapi merupakan soalan wajib yang terkandung dalam kertas Peperiksaan SPM MPV PMDR. Justeru itu, guru MPV melihat ia adalah satu peluang untuk mendedahkan pelajar MPV secara realiti dengan teknik solekan ini bagi memudahkan pelajar mendapatkan gambaran dan pengalaman secara realiti menghasilkan solekan ini. Tambahan pula, tenaga pengajar yang hadir merupakan bekas pelajar MPV dari SMKTTJ yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Jurukecantikan di Dual Training Institute.

Selain bekas pelajar MPV 2010 iaitu Nurul Aida, Umi Kalsom, Afiqah Nafisah dan Farah, kursus ini turut dihadiri oleh 2 orang Pegawai Penilai dari DTI iaitu Cik Nadia dan Cik Aisyah serta seorang Ketua Unit DTI iaitu Encik Kadir yang telah menyampaikan ucapan aluan serta memberi sedikit taklimat berkaitan kursus yang ditawarkan di DTI. Ternyata melalui penerangan tersebut, pelajar MPV mulai sedar dan nampak hala tuju mereka apabila tamat SPM nanti. Tambah menarik, Cik Aisyah yang merupakan Pegawai Penilai yang mengkhusus dalam bidang dandanan rambut merupakan seorang penerima Anugerah Tangan Emas dalam Pertandingan MySkill Peringkat Kebangsaan. Kursus turut diserikan dengan kehadiran Puan Azura Hanim dan Encik Akmal selaku Pengarah dan Penolong Pengarah DTI. Ternyata sepanjang berada di dalam Bilik MPV, mereka merakamkan rasa kagum dengan pencapaian pelajar MPV serta tidak ketinggalan mengambil banyak foto-foto keceriaan di Bilik MPV sebagai rujukan mereka untuk dibawa dan digunapakai di DTI.

Selesai sesi taklimat pengenalan dari Ketua Unit DTI, En. Kadir, semua tetamu menjamu selera di kantin sekolah. Jam 10.00 pagi, kursus dimulakan dengan kelas teori dan demonstrasi solekan. Ternyata semua pelajar MPV sangat teruja dan kelihatan berminat dengan solekan yang diajar. Selesai demonstrasi, pelajar dibahagikan kepada kumpulan untuk amali. Setiap kumpulan terdiri dari 4 orang pelajar dan mereka memilih contoh-contoh foto solekan stage untuk disolekkan kepada rakan sekumpulan. Ternyata, sepanjang kelas amali berlangsung, pelajar-pelajar ini mendapat pujian yang tidak putus dari tenaga pengajar berikutan mereka mempamerkan bakat menyolek yang tinggi serta kreatif. Sebagai tanda sokongan, Tuan Pengetua, Penolong Kanan Akademik dan Ketua Bidang Teknik dan Vokasional turut hadir dalam kursus ini.

Sehingga jam 1.15 tengahari, semua pelajar telah berjaya menghasilkan solekan stage yang menarik dan sama dengan foto yang dipilih. Rata-rata pelajar membuat rumusan bahawa solekan ini adalah mudah dan tidaklah sesusah yang disangkakan. Hanya memerlukan imaginasi pelajar, solekan stage yang cantik dan menarik akan dapat dihasilkan. Sebelum pulang, semua tetamu dari DTI telah dijamu dengan makan tengahari di kantin sekolah sekali lagi.

Panitia MPV merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan pengajar dan fasilitator dari DTI yang telah membantu menjayakan kursus ini. Semoga usaha kolaborasi ini dapat diteruskan pada masa akan datang....