Ahad, 25 September 2011

MAJLIS JALINAN MESRA AIDILFITRI 2011

Buat julung kalinya Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dianjurkan oleh Kelab Guru dan Staff di SMK Taman Tuanku Jaafar dengan melibatkan para guru, staf sokongan, para pelajar serta komuniti luar pada 23 September 2011 ( Jumaat ) di Dataran Cendekiawan. Dengan kehadiran seramai hampir 1000 orang pelajar pada hari tersebut, ternyata majlis seumpama ini telah mendapat sambutan yang diluar jangkaan. Tetamu jemputan yang turut hadir adalah YB Khairy Jamaludin ( DUN Rembau ), YM Tunku Ellie Badariah ( Naib Presiden Bola Sepak Perempuan Malaysia ), En. Smith M. Ampuling dan Pn. Zhang ( Jurulatih Bola Sepak FAM ), Inspektor Jusman, Imam dari Masjid Taman Tuanku Jaafar, serta AJK-AJK PIBG SMKTTJ.

Kehadiran YB Khairy Jamaludin mendapat tepukan dan sorakan dari para pelajar yang memang ternanti-nanti untuk melihat beliau dari dekat. Beliau turut menyampaikan ucapan serta kata-kata semangat kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM tidak lama lagi. Majlis diteruskan dengan jamuan makan dan persembahan pelajar. Diakhir majlis, YB Khairy turut meluangkan masa untuk bergambar bersama para pelajar dan guru-guru SMKTTJ. Sikap sporting yang ditunjukkan oleh beliau membuatkan para pelajar begitu gembira dan berebut-rebut untuk bergambar dengan beliau.

Semoga majlis seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Selain dapat mengukuhkan ukhuwah sesama warga sekolah, majlis ini juga dapat merapatkan hubungan di antara warga SMKTTJ dengan komuniti luar.
















Khamis, 4 Ogos 2011

BULAN KEUSAHAWANAN DAN PROJEK KERJAYA MPV TAHUN 2011 TELAH BERAKHIR

Syukur Alhamdulillah.. Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV telah berakhir pada penghujung bulan Julai 2011. Selama sebulan bermula dari 4hb Julai  sehinggalah 29hb Julai semua pelajar Tingkatan 5 UUM / MPV telah bekerja keras bagi memastikan Projek ini berjalan dengan lancar. Untuk makluman, Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV ini merupakan satu projek yang bertujuan khusus bagi mendedahkan para pelajar aliran MPV ini terhadap kerjaya sebenar pengamal kecantikan. Melalui projek ini, pelajar akan melibatkan diri mereka dengan memberikan perkhidmatan penjagaan muka dan dandanan rambut yang telah dipelajari di dalam kelas kepada para pelanggan yang terdiri dari warga sekolah dan komuniti luar. Selain itu, pelajar juga didedahkan secara langsung dengan pelbagai aspek lain seperti komunikasi yang berkesan, mempraktikkan langkah membuat keputusan, memasarkan / mengiklankan perkhidmatan serta menguruskan kewangan dengan bijak.

Buat kali pertamanya pada tahun ini, Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV ini mula dibuka perkhidmatannya kepada komuniti luar setelah sebelum ini perkhidmatan yang diberikan tertumpu kepada warga sekolah sahaja. Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan di mana terdapat permintaan komuniti luar seperti kaum keluarga dan jiran tetangga kepada para pelajar MPV sendiri datang mendapatkan perkhidmatan kecantikan. Pelajar MPV sendiri memainkan peranan dengan mengiklankan sendiri perkhidmatan yang diberikan dan berusaha keras bagi memastikan hasil kutipan yang diperolehi untuk tahun ini melebihi sasaran yang ditetapkan. Selama 4 minggu menjalankan urusniaga di Bilik MPV SMK Taman Tuanku Jaafar, hasil kutipan yang diperolehi secara kasar adalah RM600++.

Setiap pelajar MPV diwajibkan terlibat secara langsung dalam projek ini. Mereka dibahagikan kepada kumpulan kecil yang akan bertugas setiap minggu. Setiap kumpulan yang dilantik, diberikan tarikh sepanjang minggu untuk menjalankan tugas sebagai Pengurus Salun manakala, rakan yang lain akan menjadi pekerja. Ini berterusan apabila masuk ke minggu seterusnya, kumpulan lain pula akan bertugas menjadi Pengurus dan bertukar jawatan dan peranan. Di sini, kemahiran memimpin di kalangan pelajar dapat diuji - bagaimanakan pasukan mereka dapat menguruskan perjalanan perniagaan sepanjang minggu itu agar dapat dijalankan dengan baik dan lancar, bila masa ada ketikanya pelanggan yang datang terlalu ramai menyebabkan kekurangan tenaga pekerja yang bertugas, dan ada masanya juga terdapat pekerja yang curi tulang dan tidak datang bertugas. Guru tidak akan menyelesaikan masalah tersebut, hanya bertindak sebagai pemerhati dan adakalanya menjalankan fungsi sebagai Penasihat kepada pihak pengurusan. Sebarang keputusan bergantung kepada kebijaksanaan pelajar memainkan peranan menjadi pemimpin yang baik dan disenangi. Jelas, sepanjang projek berlangsung, semua pelajar dilihat dapat memberikan kerjasama yang baik sehingga sanggup berkampung di sekolah. Setiap hari pelajar akan berada di Bilik MPV sehingga waktu perkhidmatan tamat sekitar jam 4.30 petang namun ada masanya juga sehingga jam 6.00 petang. Begitu juga dengan hari Sabtu hujung minggu, pelajar yang bertugas tetap datang menanti kunjungan pelanggan dan membawa sendiri bekalan makanan untuk mengalas perut sehingga petang.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga SMK Taman Tuanku Jaafar serta komuniti di Taman Tuanku Jaafar atas kesudian membantu menjayakan Projek Keusahawanan dan Kerjaya MPV 2011 ini. Pengalaman yang diterima ini, cukup berharga buat pelajar Tingkatan 5 MPV. Juga tidak ketinggalan terima kasih yang tidak terhingga kepada bekas pelajar MPV - Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut SMKTTJ batch 2008 yang turut hadir memberikan sokongan padu kepada adik-adik MPV mereka.


Terima Kasih dari Kami......Kita jumpa lagi tahun 2012 !!!




Pengurus Minggu 1 ( 4hb - 8hb Julai 2011 )
Siti Hazirah, Siti Nabilah , Noor Aliyah dan Kalaiwani




Pengurus Minggu 2 ( 11hb - 15hb Julai 2011)
Nur Aqilah, Nur Fitrah Ain, Nur Syazwani Ajlaa dan Letchumy



Pengurus Minggu 3 ( 18hb - 22hb Julai 2011 )
Nurhayana, Ain Adiba dan Shalini




Pengurus Minggu 4 ( 25hb - 29hb Julai 2011 )
Nurul Najihah, Nurul Nadia, Ros Izzati dan Wan Nur Adilla







CORAT CORET SEPANJANG BULAN KEUSAHAWANAN DAN PROJEK KERJAYA MPV TAHUN 2011


Gaya seorang Pengurus...





Bila pekerja x mencukupi, Pengurus kena turun padang...




Berkelah di dalam stor Bilik MPV......





Membuat rawatan muka pada wajah ibu sendiri....




Tidak lepaskan peluang untuk merasakan perkhidmatan yang berbayar.. selama ini, mendapatkan perkhidmatan percuma di dalam kelas.. lain dan seronok rasanya bila kene bayar.....




Bekas Pelajar MPV dari batch tahun 2008 turut datang memberikan sokongan..



Pelanggan paling kecil datang meluruskan rambut









Apapun sanggup, asalkan boleh nampak cantik...



JUMPA LAGI.... ~

Khamis, 7 Julai 2011

KURSUS SOLEKAN STAGE - KOLABORASI PANITIA MPV SMKTTJ & DUAL TRAINING INSTITUTE

Buat kali pertama, Panitia MPV dengan kerjasama bekas pelajar MPV PMDR dan Dual Training Institute, Seremban 2 menganjurkan Kursus Solekan Stage khusus untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5 MPV. Khusus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta keyakinan pelajar MPV untuk menghasilkan solekan stage yang tidak dipelajari dalam silibus mata pelajaran MPV tetapi merupakan soalan wajib yang terkandung dalam kertas Peperiksaan SPM MPV PMDR. Justeru itu, guru MPV melihat ia adalah satu peluang untuk mendedahkan pelajar MPV secara realiti dengan teknik solekan ini bagi memudahkan pelajar mendapatkan gambaran dan pengalaman secara realiti menghasilkan solekan ini. Tambahan pula, tenaga pengajar yang hadir merupakan bekas pelajar MPV dari SMKTTJ yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Jurukecantikan di Dual Training Institute.

Selain bekas pelajar MPV 2010 iaitu Nurul Aida, Umi Kalsom, Afiqah Nafisah dan Farah, kursus ini turut dihadiri oleh 2 orang Pegawai Penilai dari DTI iaitu Cik Nadia dan Cik Aisyah serta seorang Ketua Unit DTI iaitu Encik Kadir yang telah menyampaikan ucapan aluan serta memberi sedikit taklimat berkaitan kursus yang ditawarkan di DTI. Ternyata melalui penerangan tersebut, pelajar MPV mulai sedar dan nampak hala tuju mereka apabila tamat SPM nanti. Tambah menarik, Cik Aisyah yang merupakan Pegawai Penilai yang mengkhusus dalam bidang dandanan rambut merupakan seorang penerima Anugerah Tangan Emas dalam Pertandingan MySkill Peringkat Kebangsaan. Kursus turut diserikan dengan kehadiran Puan Azura Hanim dan Encik Akmal selaku Pengarah dan Penolong Pengarah DTI. Ternyata sepanjang berada di dalam Bilik MPV, mereka merakamkan rasa kagum dengan pencapaian pelajar MPV serta tidak ketinggalan mengambil banyak foto-foto keceriaan di Bilik MPV sebagai rujukan mereka untuk dibawa dan digunapakai di DTI.

Selesai sesi taklimat pengenalan dari Ketua Unit DTI, En. Kadir, semua tetamu menjamu selera di kantin sekolah. Jam 10.00 pagi, kursus dimulakan dengan kelas teori dan demonstrasi solekan. Ternyata semua pelajar MPV sangat teruja dan kelihatan berminat dengan solekan yang diajar. Selesai demonstrasi, pelajar dibahagikan kepada kumpulan untuk amali. Setiap kumpulan terdiri dari 4 orang pelajar dan mereka memilih contoh-contoh foto solekan stage untuk disolekkan kepada rakan sekumpulan. Ternyata, sepanjang kelas amali berlangsung, pelajar-pelajar ini mendapat pujian yang tidak putus dari tenaga pengajar berikutan mereka mempamerkan bakat menyolek yang tinggi serta kreatif. Sebagai tanda sokongan, Tuan Pengetua, Penolong Kanan Akademik dan Ketua Bidang Teknik dan Vokasional turut hadir dalam kursus ini.

Sehingga jam 1.15 tengahari, semua pelajar telah berjaya menghasilkan solekan stage yang menarik dan sama dengan foto yang dipilih. Rata-rata pelajar membuat rumusan bahawa solekan ini adalah mudah dan tidaklah sesusah yang disangkakan. Hanya memerlukan imaginasi pelajar, solekan stage yang cantik dan menarik akan dapat dihasilkan. Sebelum pulang, semua tetamu dari DTI telah dijamu dengan makan tengahari di kantin sekolah sekali lagi.

Panitia MPV merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan pengajar dan fasilitator dari DTI yang telah membantu menjayakan kursus ini. Semoga usaha kolaborasi ini dapat diteruskan pada masa akan datang....