Tahniah dan Syabas !! Buat barisan Jawatankuasa Hari Graduasi SMKTTJ 2012 telah berjaya merealisasikan satu majlis graduasi bertaraf Universiti. Walaupun ini adalah kali pertama majlis seperti ini dibuat, namun kerjasama dari guru-guru dan para pelajar yang terlibat menyumbang kepada kelancaran majlis ini.
Bertempat di Dewan Konvokesyen INTI International University, Nilai majlis ini telah dirasmi dan disempurnakan oleh YB Tn Hj Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau dan dihadiri oleh jemputan-jemputan lain dari JPNS, PPD Seremban, YDP PIBG, wakil dari pelbagai syarikat swasta yang telah berkolaborasi bersama SMKTTJ, para ibu bapa serta hampir 230 orang pelajar Tingkatan 5 yang akan menaiki pentas.
Semoga majlis ini akan menjadi ingatan buat mereka yang bakal menduduki SPM dan akan meninggalkan sekolah tidak lama lagi. Kenangan di zaman persekolahan adalah kenangan paling manis dan pastinya mereka akan merindui saat-saat bergelar pelajar.
Dan nun dibelakang tabir.. pelajar-pelajar MPV yang sedang berdebar menanti saat naik ke atas pentas, rupa-rupanya sedang membantu menyolek muka pelajar-pelajar yang akan bertugas membawa bunga pahar semasa majlis berlangsung nanti. Tahniah dan syabas, kerana mereka mengambil peluang ini untuk membantu rakan-rakan yang lain serta menawarkan khidmat di saat-saat kemahiran dan sentuhan mereka diperlukan.
Buat semua pelajar Tingkatan 5.. Selamat Menduduki Peperiksaan SPM.. Semoga berjaya dengan cemerlang !!