Ahad, 2 Oktober 2011

KE MANAKAH HALA TUJU MPV SELEPAS DIMANSUHKAN...?

Subjek Vokasional Mansuh 2012


KULIM 26 Jun – Kementerian Pelajaran akan memansuhkan pengajaran mata pelajaran Vokasional (MPV) di semua sekolah harian secara berperingkat mulai sesi pengajian 2012.


Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.
“Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV).
“PAV dikhususkan untuk pelajar peringkat tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah cemerlang Hari Apresiasi Panglima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar di sini, hari ini.


Mohd. Puad memberitahu, berdasarkan perancangan, semua peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran MPV serta Kemahiran Hidup di sekolah harian sedia ada akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Kolej Vokasional kelak.


Selain itu, katanya, kementerian turut bercadang melanjutkan tempoh pengajian peringkat menengah atas kepada tiga tahun berbanding dua tahun di Sekolah Menengah Teknik atau Vokasional sebelum ini.
“Selepas pelajar menamatkan peringkat pengajian menengah atas di Kolej Vokasional selama tiga tahun, mereka layak diberikan SKM Tahap IV,” jelasnya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM262.4 juta untuk tujuan pemberian biasiswa kepada pelajar sekolah di seluruh negara tahun ini.
“Bantuan terbabit dinamakan Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Sukan dan Biasiswa Pra Universiti. Bantuan pertama dan kedua diberikan berdasarkan kes-kes tertentu dan kecemerlangan dalam bidang sukan.
“Sementara Biasiswa Pra Universiti diberikan kepada pelajar tingkatan enam yang layak mengikut kadar RM114 sebulan bagi pelajar aliran Sains dan RM90 aliran sastera,” jelasnya.


ARKIB : 27/06/2011 - DIPETIK DARI UTUSAN ONLINE

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm




Dunia pendidikan vokasional gempar seketika tatkala Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi membuat pengumuman mengejut itu. Ternyata, guru-guru yang mengajar mata pelajaran MPV telah menerima soalan yang bertalu-talu dari rakan-rakan guru serta para pelajar yang mahukan kepastian tentang perkara berkenaan. Namun, bagi guru MPV, kami telah mula mendengar khabar berkaitan perkara ini sejak tahun 2009 lagi dimana matapelajaran MPV ini akan mula diajar di Tingkatan 1 mulai tahun 2011. Namun, disebabkan tiada surat rasmi memaklumkan perkara ini dan tiada panggilan mesyuarat yang berkaitan, makanya masing-masing meneruskan tugas seperti biasa.

Namun, pada tahun 2011 ini, apabila pengumuman secara rasmi dibuat semula dan pelaksanaan ke arah untuk merealisasikannya kelihatan benar, maka guru-guru MPV mulai kelihatan bimbang dan risau. Manakan tidak, ada bengkel yang baru saja mula dibuka tidak sampai setahun terpaksa dipindahkan ke Sekolah Menengah Teknik. Ada juga yang risau berkenaan lokasi penempatan semula guru-guru opsyen MPV yang tidak nampak kemana halanya setelah MPV dimansuhkan. Maka, masing-masing mula bertanya ke sana sini kekosongan tempat di sekolah-sekolah teknik dan vokasional yang berhampiran. Pada yang tidak mahu berpindah, mulai mengintai kekosongan matapelajaran lain untuk diajar untuk sesi akan datang. Tetapi, apabila dinyatakan matapelajaran Pendidikan Asas Vokasional ( PAV ) akan diwujudkan menggantikan MPV, masing-masing menarik nafas lega. Tidak perlu lagi risau berkaitan perpindahan sekolah kerana dimaklumkan PAV akan dilaksanakan di sekolah asal matapelajaran MPV. Sebagai permulaan, beberapa buah sekolah yang dipilih di setiap negeri sebagai sekolah rintis yang menawarkan matapelajaran PAV untuk Tingkatan 1. Maka, sekolah-sekolah lain yang masih belum menerima surat rasmi, akan meneruskan mata pelajaran MPV di sekolah sedia ada. 


SUBJEK MPV DIMANSUH DI SEKOLAH HARIAN MULAI 2012

Mata pelajaran vokasional (MPV) akan dimansuhkan di semua sekolah harian secara berperingkat mulai tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

"Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV).

"PAV ini dikhususkan untuk pelajar peringkat Tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat," katanya.

Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan perancangan, semua peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran MPV serta Kemahiran Hidup di sekolah harian sedia ada akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Kolej Vokasional kelak.

Beliau berkata, kementerian turut bercadang melanjutkan tempoh pengajian peringkat menengah atas kepada tiga tahun berbanding dua tahun di sekolah menengah teknik atau vokasional sebelum ini.

"Selepas pelajar menamatkan peringkat pengajian menengah atas di Kolej Vokasional selama tiga tahun, mereka layak diberikan SKM Tahap IV," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya Kementerian Pelajaran sudah memperuntukkan sejumlah RM242.6 juta untuk Program Biasiswa Kerajaan Persekutuan, Biasiswa Sukan dan Biasiswa Pra-Universiti untuk tahun ini.

(Sumber: BHarian - 26/06/11)



Perubahan demi perubahan akan senantiasa dilakukan dalam dunia pendidikan. Semuanya adalah untuk memastikan para pelajar akan menjadi golongan utama yang sentiasa diberikan keistimewaan untuk meningkatkan potensi ke arah yang lebih baik. Maka sebagai guru dan pelajar, kita harus terus memberi sokongan yang padu serta memanfaatkan segala peluang yang diberi untuk memastikan kecemerlangan diri dan sekolah dapat dipertingkatkan.