Isnin, 22 Oktober 2012

Lawatan BTPN Terengganu ke SMKTTJ - Menjenguk aktiviti di Bilik MPV

Sempena Lawatan Penanda Aras dari BTP Negeri Terengganu, sekali lagi Bilik MPV menjadi lokasi lawatan bagi melengkapkan atucara program lawatan pegawai-pegawai dari negeri pantai timur ini. Objektif utama lawatan ini ke SMKTTJ adalah untuk mempelajari pembudayaan ICT serta pembestarian pendidikan yang telah dilaksanakan di SMKTTJ.

Rombongan seramai 39 orang ini membariskan para pengetua dan guru besar dari sekolah menengah dan sekolah rendah di Negeri Terengganu, pegawai-pegawai dari PPD serta pegawai PKG. Dibahagikan kepada 3 kumpulan kecil, kehadiran pegawai ini ke Bilik MPV bermula dari jam 12 tengahari dan tamat sekitar jam 12.45 tengahari. Pelajar-pelajar MPV Tingkatan 4 dan 5 telah membuat persediaan untuk melakukan demonstrasi rawatan seperti solekan, rawatan muka, rawatan rambut, penggayaan rambut dan guntingan rambut.

Ketua Bidang Teknik & Vokasional, Puan Fadhilah Hashim juga turut berada bersama di Bilik MPV bagi membantu memberikan penerangan kepada para pelawat. Para pelajar juga kelihatan lebih yakin untuk memberi penerangan dan menjawab persoalan yang diajukan. 

Buat Pegawai-Pegawai BTPN Terengganu, jutaan terima kasih kami ucapkan. Panjang umur, kita jumpa lagi...












Khamis, 18 Oktober 2012

Hari Graduasi SMKTTJ 2012 - INTI International University, Nilai

Tahniah dan Syabas !! Buat barisan Jawatankuasa Hari Graduasi SMKTTJ 2012 telah berjaya merealisasikan satu majlis graduasi bertaraf Universiti. Walaupun ini adalah kali pertama majlis seperti ini dibuat, namun kerjasama dari guru-guru dan para pelajar yang terlibat menyumbang kepada kelancaran majlis ini.

Bertempat di Dewan Konvokesyen INTI International University, Nilai majlis ini telah dirasmi dan disempurnakan oleh YB Tn Hj Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau dan dihadiri oleh jemputan-jemputan lain dari JPNS, PPD Seremban, YDP PIBG, wakil dari pelbagai syarikat swasta yang telah berkolaborasi bersama SMKTTJ, para ibu bapa serta hampir 230 orang pelajar Tingkatan 5 yang akan menaiki pentas.

Semoga majlis ini akan menjadi ingatan buat mereka yang bakal menduduki SPM dan akan meninggalkan sekolah tidak lama lagi. Kenangan di zaman persekolahan adalah kenangan paling manis dan pastinya mereka akan merindui saat-saat bergelar pelajar. 

Dan nun dibelakang tabir.. pelajar-pelajar MPV yang sedang berdebar menanti saat naik ke atas pentas, rupa-rupanya sedang membantu menyolek muka pelajar-pelajar yang akan bertugas membawa bunga pahar semasa majlis berlangsung nanti. Tahniah dan syabas, kerana mereka mengambil peluang ini untuk membantu rakan-rakan yang lain serta menawarkan khidmat di saat-saat kemahiran dan sentuhan mereka diperlukan.

Buat semua pelajar Tingkatan 5.. Selamat Menduduki Peperiksaan SPM.. Semoga berjaya dengan cemerlang !!






































Jumaat, 5 Oktober 2012

Hari Anugerah Kualiti & Kecemerlangan SMKTTJ 2012

Syukur Alhamdulillah...

Syabas buat Panitia MPV dan Terima Kasih kepada barisan juri penilai... atas pemilihan Panitia MPV sebagai penerima anugerah bersempena Hari Anugerah Kualiti dan Kecemerlangan SMKTTJ buat kali yang ke-2. Untuk tahun 2012 ini, Panitia MPV telah dipilih sebagai penerima Anugerah Cemerlang Bilik-Bilik Khas dan Anugerah Pengekalan 100% ( 3 Tahun Berturut-Turut ). Majlis penyampaian anugerah dan hadiah telah disempurnakan oleh YB Dato' Devamany a/l S.Krishnasamy,  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Semoga dengan penghargaan ini, Panitia MPV akan terus mencipta kejayaan, cemerlang dalam akademik serta berusaha membawa nama SMKTTJ sehingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Buat semua pelajar MPV, teruskan berusaha.. kita harus pastikan Panitia MPV akan terus unggul sebagai antara Panitia yang hebat di Negeri Sembilan !!







Rabu, 1 Ogos 2012

Bulan Keusahawanan dan Projek Kerjaya MPV Tahun 2012


Bermula dari tarikh 1 Julai 2012 Bulan Keusahawanan dan Projek Kerjaya MPV untuk tahun 2012 telah berlangsung dengan jayanya. Sebanyak 6 objektif telah ditetapkan untuk dicapai sepanjang projek ini berlangsung iaitu :

  1. Memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar tentang kaedah dan teknik menjalankan perniagaan
  2. Melatih pelajar mengaplikasikan kemahiran penjagaan muka dan dandanan rambut yang telah dipelajari di dalam bilik darjah kepada situasi sebenar sebuah perniagaan perkhidmatan kecantikan.
  3. Membantu pelajar membina keyakinan diri dalam membuat sesuatu keputusan melibatkan perniagaan
  4. Melatih pelajar dalam menguruskan kewangan, mengira untung rugi perniagaan dan mengira kos perkhidmatan yang diberikan.
  5. Melatih pelajar berkomunikasi dengan berkesan terhadap rakan sekerja dan pelanggan
  6. Melatih pelajar mengenali dan mencari peluang bagi memasarkan perkhidmatan mereka di sekolah dan komuniti luar.

Selama 4 minggu, seramai 16 orang pelajar Tingkatan 5 MPV dibahagikan kepada 4 kumpulan yang ditugaskan setiap minggu untuk menjadi kumpulan penggerak kepada perjalanan projek kerjaya ini.  Setiap kumpulan ditugaskan mengetuai keseluruhan pelajar dengan menjalankan tugas sebagai ketua kewangan, ketua pendaftaran, ketua operasi penjagaan muka dan ketua operasi dandanan rambut. Untuk tahun ini juga, 2 perkhidmatan baru ditambah iaitu sauna dan urutan badan.


Tugas sampingan kumpulan ini memerlukan mereka menggerakkan pelajar yang lain selaku pekerja memberikan perkhidmatan selain mereka turut membantu membuat promosi dan pemasaran, terlibat 80% dalam proses pembuatan keputusan serta mengaplikasikan proses komunikasi yang berkesan sesama pekerja dan pelanggan. Projek ini berakhir pada 30 Julai 2012.

Sepanjang berlangsungnya bulan kerjaya ini, para pelajar memberikan perkhidmatan penjagaan muka dan dandanan rambut kepada seluruh warga sekolah serta orang luar yang datang mendapatkan perkhidmatan dengan harga yang berpatutan. Pengalaman seperti ini, dilihat telah berjaya melatih pelajar untuk menjadi pengurus dan perancang yang baik, memasarkan perkhidmatan serta memberikan perkhidmatan secara terus kepada pelanggan.



Kumpulan 1

( Aishah, Syikin, Sagilah & Subathra )




Kumpulan 2

( Aqidah, Umi, Shoba & Amylikha )




Kumpulan 3

( Suryani, Atyqah, Zulaikha & Solehah )




Kumpulan 4

( Anis, Ain, Atikah Ain & Hidayah )